KUALA LUMPUR : Tahun naga dalam kalendar zodiak Cina dipercayai membawa simbol kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keberuntungan.
Tahun naga merupakan antara detik yang paling diraikan kerana mengikut ilmu warisan masyarakat Cina kuno, feng shui, tahun ini bakal membawa perubahan yang besar kepada masyarakat.
Menurut Pakar Feng Shui, Kenny Hoo, tahun naga dengan elemen kayu pada tahun ini turut membawa tuah dan peluang luar biasa khususnya bagi mereka yang dilahirkan dalam tahun babi.
“Tahun ini zodiak paling bertuah dengan rezeki paling baik adalah orang yang lahir pada tahun babi. Mereka memang sangat bertuah tahun ini.
“Menariknya, mereka yang dilahirkan pada tahun babi, tahun ini mereka akan meraih tiga kebahagiaan.
“Jadi dalam 12 bulan ini mereka boleh menjangkakan tiga kebahagiaan akan diperoleh, sekiranya sudah berlaku satu, maka akan ada dua lagi berita baik menanti mereka.”
Jelasnya lagi, berdasarkan analisa perhitungan feng shui, antara bulan yang bakal menyaksikan cabaran adalah bulan Februari, April dan Ogos.
“Ramai yang bertanyakan bagaimana “master feng shui” tahu bulan apa lebih baik misalnya untuk 2024.
“Kami membuatnya berdasarkan analisa tarikh lahir, bulan lahir, waktu kelahiran dan beberapa faktor lain. Ia termasuk melihat elemen individu tersebut dengan interaksi kimia untuk menjangkakan peluang yang lebih baik.
“Secara amnya, untuk tahun ini, bulan-bulan yang mencabar adalah pada Februari, April, Mei, Ogos dan Oktober,” jelasnya.
Justeru, beliau menasihatkan agar orang ramai mengurangkan aktiviti yang lebih mencabar dan mendatangkan risiko pada bulan bulan tersebut.
Beliau berkongsi kepakarannya ini dalam AWANI Pagi pada Sabtu sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024.
Tonton episod penuh menerusi pautan ini;